HUKUM Makmum Terkilan: Kerana Imam Baca Lambat..


Assalamualaikum.
Saya terkilan dengan ramai Imam hari ini yang membaca surah Fatihah terlalu laju dalam rakaat 3 & 4 sehingga para makmum di belakang mereka bertaburan dan kelam kabut mengejar untuk bersama dalam solat.  Ada segelintir makmum yang masih rukuk sedang Imam sudah pun duduk antara dua sujud. Peliknya, dalam rakaat 1 & 2, bacaan Imam2 ini amatlah mendayu2, berlagu, bertajwid, dan sempurna pula makhraj huruf-hurufnya. Para tahfiz juga tidak terkecuali  dari tergolong dalam Imam-imam yang terlebih fasih ini. Harap dapat penjelasan dari Ustaz.

Jawapan

Saya rasa dalam masalah ini kita jangan bersangka buruk terhadap imam-imam tersebut, apa kata bagi mendapatkan kepastian anda berjumpa terus dengan imam tersebut dan ceritakan segala perkara yang anda terkilan terhadapnya. Dengan cara ini anda akan mendapat jawapan direct darinya.

Ada tiga kategori bacaan Al-Quran yang ada yang boleh diaplikasikan oleh kita pada setiap hari seperti  :
  1. At-Tartil iaitu bacaan yang perlahan-lahan, tenang dan melafazkan setiap huruf daripada makhrajnya yang tepat serta menurut hukum-hukum bacaan tajwid dengan sempurna, dan merenung makna, hukum dan pengajaran ayat. Tingkatan bacaan ini biasanya bagi mereka yang sudah mengenal makhraj-makhraj huruf, sifat-sifat huruf dan hukum-hukum tajwid. Tingkatan bacaan ini adalah yang paling baik dan lebih diutamakan. 
  2. At-Tadwir adalah bacaan pertengahan iaitu antara tingkatan bacaan Tartil dan Hadar. Namun tetap memelihara hukum-hukum bacaan tajwid. 
  3. Al-Hadar ialah bacaan yang cepat serta memelihara hukum-hukum bacaan tajwid. Tingkatan bacaan ini kebiasaannya adalah untuk mereka yang telah menghafal Al-Quran. Ini supaya mereka dapat mengulangi hafalan bacaan Al-Quran dalam masa yang singkat.

Bacaan yang paling baik menurut saya ialah At-Tadwir kerana ia tidak laju dan tidak terlalu lambat dan ia sangat sesuai mengikut mud makmum yang ada di belakang imam. Bukan semua makmum yang ada dibelakang imam itu mempunyai keinginan yang sama, ada sebahagian makmum suka pada bacaan lambat dan ada juga suka pada bacaan cepat. Kadang ada juga makmum yang mempunyai masa yang singkat seperti orang musafir. Di sinilah imam perlu memainkan peranannya untuk memastikan segala makmum suka solat berjamaah bersamanya. Maka tindakan yang baik adalah bacaan secara Tadwir dan bacaan ini sering dipraktik oleh imam-imam yang ada.

Imam mempunyai tugas yang besar lagi dari penghulu kampung, kerana imam menjadi pemimpin dalam hal agama dan juga hal-hal keduniaan terutamanya urusan kampung. Imam juga adalah seorang yang dipercayai oleh masyarakat kampung jika dibandingkan dengan penghulu kampung. Bukan mudah menjadi seorang imam kerana dia dipertanggungjawabkan untuk memimpin masyarakat qariah menjadi insan yang baik selain dari menjadi imam di dalam solat. Dalam solat juga imam mestilah memiliki bacaan yang baik dan sempurna. Selain dari itu, imam juga perlu diiktiraf oleh penduduk qariah tersebut bagi mengelakkan sebarang pertikaian dan permusuhan.  Kalau baik solat imam itu maka baiklah solat makmumnya, kalau buruk solat imam itu maka buruklah solat makmumnya. Dari Sahal bin Saad ra diriwayatkan bahawa dia menceritakan :

“Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda : Imam itu memiliki tanggungjawab. Kalau dia melakukan sembahyang secara baik, maka dia dan para makmumnya mendapatkan pahala. Dan apabila dia melakukannya dengan salah maka dia berdosa, sementara makmumnya tidak.” (Riwayat Ibnu Majah)

Setiap Imam menanggung solat makmumnya. Saidina Ali Bin Abi Talib pernah menjadi imam dan terlupa untuk berwuduk. Selepas itu beliau dan makmumnya mengulangi solatnya kerana bimbang dia akan memikul kesalahannya menjadi imam tanpa wuduk. Rasulullah sendiri pernah terlupa mandi junub dan ketika itu juga baginda hendak menjadi imam di dalam solat. Semasa Rasulullah hendak takbiratulihram, Baginda baru teringat bahawa dia terlupa mandi junub dan memerintahkan makmumnya supaya menunggu Baginda mandi junub dahulu. Setelah selesai mandi junub, Baginda datang untuk meneruskan solatnya secara jemaah.

Sebaiknya tugas imam ini dipikul oleh orang yang paling alim dan paling baik dan mempunyai kemampuan dari aspek kesihatan. Ini penting kerana imam yang uzur sedikit sebanyak akan menyusahkan makmumnya. Saya sendiri pernah menjadi makmum di sebuh masjid yang diimamkan oleh seorang tua. Bacaannya tidak menepati hukum tajwid kerana mungkin giginya sudah tiada, kemudian bacaannya putus-putus disebabkannya penat. Sebagai makmum sudah pasti resah dengan keadaan imam tersebut. Tidak mengapalah kalau dalam qariah itu tidak ada yang lebih layak darinya.

Ada juga imam yang dilantik dalam keadaan sakit dan tidak boleh bangun dari tidurnya da nada juga imam yang dilantik tidak pernah dating masjid dan makmumnya sendiri tidak pernah mengenalinya. Jadi dalam hal ini fikir-fikirlah dan saya tidak mahu mengulas panjang.

Dalam masalah yang dibangkitkan dalam pertanyaan di atas, tidak mengapalah kalau imam itu bacaannya secara biasa ataupun tadwir (tidak laju dan tidak lambat) kerana itu yang terbaik dan ia sudah memenuhi kehendak makmumnya. Kalau lambat sangat takut makmum yang tua dan uzur bermasalah kerana ada diantara mereka tidak mampu berdiri lama. Cepat sangat bermasalah juga bagi mereka. Jadi yang terbaik adalah pertengahan di antara kedua bacaan tersebut. Bagi saya tidak bermasalah imam cepat sedikit dalam rakaat 3 dan 4 kerana rakaat itu imam hanya membaca surah Al-Fatihah sahaja. Apa-apa pun imam berdiri mencukupi kadar masa bacaan surah Al-Fatihah sudah memadai dan boleh dianggap baik. Saya nasihatkan juga kepada semua pembaca janganlah mempunyai sangkaan yang buruk terhadap orang lain dan apa-apa pun rujuk kembali kepada orang tersebut. link asal
Anda baru saja membaca artikel yang berkategori info Islam dengan judul HUKUM Makmum Terkilan: Kerana Imam Baca Lambat... Anda bisa bookmark halaman ini dengan URL http://islam4online.blogspot.com/2012/06/hukum-makmum-terkilan-kerana-imam-baca.html. Terima kasih!
Ditulis oleh: Unknown -

Belum ada komentar untuk "HUKUM Makmum Terkilan: Kerana Imam Baca Lambat.."

Post a Comment

Arsip Blog